Saturday, March 28, 2009

Tidak ada pilihan lain, pilih saya- Manikumar

CALON pilihanraya Dewan Undangan Negeri BUkit Selambau, S. Manikumar berkata penduduk di kawasan itu terutama masyarakat India tidak mempunyai pilihan lain selain memilih beliau sebagai Ahli dewan Undangan negeri dan seterusnya dilantik sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco).

Katanya, ini kerana tidak ada wakil masyarakat India yang berupaya membawa suara dan masalah mereka dalam mesyuarat exco selepas bekas Adun kawasan itu, V.Arumugam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India meletakkan jawatan sebagai Adun kawasan berkenaan pada awal Febuari lalu.
“Ini lah satu-satu pilihan yang ada supaya Exco boleh dilantik di kalangan masyarakat India untuk mewakili suara mereka dalam mesyuarat exco, ini kerana tidak ada lagi wakil dari masyarakat India di kalangan Adun dan Exco kerajaan negeri,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada Suara Keadilan ketika mengadakan pertemuan dengan petugas-petugas jentera pilihanraya KeADILan di Bilik Gerakan KeADILan di Taman Ria, Bukit Selambau pada malam tadi

Menurut Manikumar, dengan kemenangan beliau sebagai Adun kawasan terbabit akan melayakkannya untuk dilantik sebagai exco bagi menggantikan tempat Arumugam dan seterusnya berupaya untuk membawa suara dan pelbagai isu melibatkan masyarakat india.
“Saya percaya ini juga yang dikehendaki oleh penduduk pelbagai kaum di kawasan ini,” ujarnya.
Katanya lagi, pemilihan beliau sebagai Adun juga bermakna akan dapat mengimbangi komposisi exco kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah yang dibentuk dengan sokongan pelbagai kaum.
Terdapat 35,140 pemilih berdaftar di DUN Bukit Selambau yang terdiri daripada 35,125 pemilih biasa dan 15 pemilih pos bakal menentukan kemenangan Manikumar pada 7 April ini.
Manikumar berkata, Pilihanraya yang membabitkan 22 pusat mengundi dengan 64 saluran mengundi itu akan menjadi medan penduduk kawasan berkenaan menolak amalan politik perkauman yang dibawa oleh rejim Barisan Nasional.


No comments:

Post a Comment