PETALING JAYA: Pemuda Umno Kedah bertegas tidak akan mendedahkan nama Exco yang didakwa menghina Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atas dasar profesional dan amalan demokrasi walaupun didesak berbuat demikian oleh Menteri Besar negeri, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
"Kami (Pemuda Umno Kedah) tidak akan sama sekali mendedahkan nama Exco yang terlibat dalam kes ini kerana semuanya masih dalam siasatan polis.
"Biar polis menentukan Exco itu bersalah atau tidak," kata Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid ketika dihubungi mStar Online hari ini.
Tegas beliau, pihaknya akan bertindak secara profesional dan akan mengikut saluran demokrasi dalam menyelesaikan isu tersebut. "Menteri Besar tidak perlu pening kepala, biar polis menjalankan siasatan. Kalau betul Exco terbabit tidak bersalah, tidak perlu takut," katanya.
Semalam, Azizan menyifatkan tindakan Pemuda Umno negeri tidak mendedahkan nama Exco yang didakwa menghina Sultan Kedah sebagai tuduhan yang tidak mempunyai nilai berita.
Beliau berkata, perkara tersebut amat mendukacitakan kerana tuduhan yang dianggap tidak berasas itu dibuat semata-mata berdasarkan isi kandungan surat layang yang tidak diketahui dari mana dan siapa pengirimnya.
Mohd Rawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ayer Hangat berkata polis sudah mengambil kenyataan daripada beliau dan Setiausaha Pemuda Umno negeri, Haris Che Mat yang menerima surat layang tersebut Ahad lepas.
Ditanya adakah pendedahan itu dibuat untuk menjatuhkan kredibiliti kerajaan Pakatan di Kedah, Mohd Rawi berkata perkara itu tidak timbul kerana pergerakan tersebut merasa terpanggil untuk memperjuangkan isu berkaitan kedaulatan istana dan bangsa Melayu secara keseluruhannya.
"Kalau kerajaan campuran di Kedah mengurus tadbir dengan baik, kami bersyukur dan akan menyokongnya.
"Cuma bila timbul isu menghina Sultan kami mahu mereka yang bersalah disiasat. Kita perlu tegas dalam mempertahankan institusi Raja-raja Melayu,"katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat mendakwa menerima surat layang mengandungi dialog seorang Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri menghina Sultan, dalam peti surat rumahya pada 23 Februari lepas.
Pergerakan itu membuat laporan polis pada 1 Mac lalu supaya perkara itu disiasat.
Friday, March 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment