Wednesday, February 11, 2009

PENGHARGAAN BUAT SDRA ARUMUGAM

Dukacita saya menerima perletakan jawatan Saudara V. Arumugam dari semua jawatan yang disandang beliau; sebagai seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau. Mewakili seluruh pimpinan Parti Keadilan Rakyat, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Saudara Arumugam di atas jasa dan khidmat yang beliau berikan.
Kerana takutkan bayang-bayang sendiri, Umno-Bn sanggup menggunakan taktik kotor dan politik ugut mengugut ke atas wakil yang dipilih rakyat. Pendedahan YAB Ustaz Azizan pada sidang media sebentar tadi berhubung alasan perletakan jawatan Adun Bukit Selambau tersebut sangat mengejutkan bahkan mengesahkan laporan polis yang dibuat oleh Saudara Arumugam pada awal bulan ini berkenaan ugutan dan segala macam tekanan. Nampaknya perubahan yang dijanjikan hanyalah gimik semata. Rakyat sedar akan permainan silap mata ini, dan rakyat jualah yang akan menentukan keputusannya.
Buat pendokong Pakatan Rakyat marilah kita sama-sama renungi sirah Nabi S.A.W ketika mana Heraklius memanggil Abu Sufyan:
Heraklius: Adakah pengikutnya dari kalangan orang kaya atau marhaen.
Abu Sufyan: Rakyat marhaen.
Heraklius: Adakah pengikutnya bertambah atau berkurangan?
Abu Sufyan: Bertambah
Heraklius: Bagaimana perang antara kamu dengan dia?
Abu Sufyan: Ada kala kami menang, ada kala dia.
Dalam masa dua bulan yang akan datang, inshaallah, kita akan menghadapi dua pilihanraya kecil. Inilah masa bagi kita kembali menggilap semangat perjuangan buat kemaslahatan rakyat keseluruhannya.
ANWAR IBRAHIM

No comments:

Post a Comment